Wednesday, March 11, 2009

Midterm di US: Aduhai anak muridku, ke manakah kalian?

Sepanjang minggu ini saya dan rakan-rakan di sekolah agak sibuk melaksanakan ujian berpusat di sekolah. Niat di hati saya ialah menyiapkan semua urusan di sekolah "menanda, memberikan markah, menyediakan keputusan" sebelum bercuti minggu hadapan. Hari ini, Khamis, telah siap ditanda kertas PJ untuk dua buah kelas, manakala kertas Agama masing-masing tingkatan 1 dan dua untuk empat buah kelas belum selesai ditanda. Sempat saya melirik dan membaca beberapa helai kertas jawapan mereka, dan arg, ada di kalangan mereka yang BOLEH menjawab dengan jelas, dan tidak kurang ada di kalangan mereka yang pada hemat saya seolah-olah tidak mengulangkaji. Contohnya, soalan meminta calon menyatakan apakah pengertian hidayah dari segi bahasa. Jawapan yang tak ingin dibaca ialah memperoleh hidayah Allah SWT. Tipu jika saya tak kecewa dengan jawapan murid ini. Nasib baik tak hancur hati saya dibuatnya. Sekurang-kurangnya saya harus ingat pepatah Melayu yang bermaksud dalam setandan pisang pasti ada yang tak boleh dimakan. Begitulah ibaratnya manusia, mereka tidak sama daya pengamatan dan penaakulan semasa belajar. Sejarah juga mengajar kita hanya sedikit bilangan orang yang mahu menerima kebenaran di zaman Nabi dan Rasul. Ini hanyalah pengulangan kisah, terjadi pada latar masa dan tempat yang berbeda. "Aduhai midterm, (kalau di universiti)..anak muridku di manakah kalian." Saya amat bimbang dengan jumlah kamu yang ramai dan tidak tahu pula.

Thursday, March 5, 2009

Sabar, sabar, sabar, sabar dan juta-juta sabar

Hari ini salah seorang sahabat ku di US mendapat berita sangat menggembirakan, iaitu perpindahan ke SMK Ranau berkuatkuasa 1 Mac lalu. Menurutnya dia juga tidak menyangkakan perpindahan ini setelah setahun lalu K.I.V. Perpindahan sahabatku ini merupakan perpindahan suka sama suka dengan seorang guru yang telah lama ku kenali iaitu Cikgu Suhaipin Lasim. Sedikit masa yang lalu saya ada menemuinya secara tidak sengaja semasa saya melawat teman lama di SMKR. Dia menyatakan kepada saya tentang perpindahan, lantaran faktor pengangkutan dan perhubungan yang agak menyusahkan, terselit sedikit peringatan agar berpindah sebelum mengandung. Masa tu saya hanya tersenyum, terdetik "Kerja Tuhan (Allah) siapa yang tahu", dipetik daripada novel penulis terkenal Faisal Tehrani.
Nampaknya kami akan kehilangan seorang lagi sahabat yang baik, guru yang berjasa. Pesan pada diri sendiri sabar, sabar, sabar dan juta-juta sabar.

Takaful Kak Gaya':Antara Terpaksa dan Rela, Di mana kah Saya?

Ini bukan pertama kali ia terjadi dalam hidupku tersepit antara mahu atau tidak. Ditelan mati mak dibuang mati bapa. Begitulah ibaratnya saya dalam hal ini.
Tidak lama dahulu saya telah bertemu dengan Kak Gaya atas urusan jual beli insurans. Akhirnya persetujuan dicapai antara kami berdua iaitu saya bersetuju untuk membeli Takaful Ikhlasnya bernilai RM100k. Tibalah masa yang dipersetujui iaitu dengan menyediakan wang sejumlah RM1150 untuk bayaran muka 6 bulan. Sebenarnya, di saat akhir saya tidak berapa berminat dengan pelan ini kerana saya sedar kewangan saya yang sangat tidak stabil di masa ini. Saya pernah sms Kak Gaya untuk postpon dahulu tetapi dia agak mendesak dan berjaya meraih simpati. Tak mengapalah. Janji tetap janji agaknya, akhirnya saya tutup mata sahaja dan bersetuju. Bagaimanapun selepas tempoh 6 bulan pertama ini saya tidak pasti apa yang akan berlaku. Saya sedar saya membuang masa dan duit untuk hal yang saya sedar tidak ingini sepenuhnya. Bukankah baik jika saya gunakan duit tersebut untuk simpanan dalam ASB, wang keluarga, beli sebuah almari atau belanja dapur beberapa bulan. Mungkin inilah yang dikatakan memuaskan hati orang lain demi sebuah janji. Baiklah, saya akur ini untuk pertama dan terakhir. Selebihnya saya serahkan pada masa depan. Tetapi tekad saya ialah kumpul duit, kumpul duit dan terus kumpul untuk masa depan yang lebih baik selepas tempoh yang sukar ini. Saya berjanji ini adalah yang terakhir keadaan ini berlaku pada diriku. Selepas ini saya wajib tegas. Apa bakal terjadi, jadilah sebab saya tidak kisah. Biarlah hal ini berlalu dan sebagai pengajaran terakhir.

Sahabatku bernama Hafizi

Ini merupakan kali pertama saya menulis tentang salah seorang sahabat saya. Sebenarnya dia tak tahu saya menganggapnya sahabat sebab usia perkenalan saya dengan dia masih terlalu awal. Memandangkan dia mempunyai ciri-ciri seorang yang jujur, baik hati dan lemah lembut, saya dalam diam amat menyenanginya dan menganggapnya sebagai sahabat saya. Saya mengenali sahabat saya ini di US, Kaingaran. Kami baru mengajar di perhentian terminal ini, bezanya dia lebih awal melapor diri iaitu tahun lalu sebelum cuti, manakala saya tahun ni bulan Januari. Kami mempunyai persamaan yang agak sama bak kata pepatah sama tapi tak serupa. Dia baru mendirikan rumahtangga, begitu juga saya, cuma dia awal sedikit daripada saya. Kalau tak silap dia awal bulan Disember manakala saya akhir bulan Disember. Baru-baru ini iaitu pada 25 Febuari saya dilanda demam yang teruk di US. Begitu juga dia. Kebetulan lagi kami ke klinik Kaingaran, masa tu saya dah berada di sana lebih awal manakala dia datang kira-kira 30 minit selepas saya berada di situ. Hatta kereta kami pun sama iaitu Myvi s.e. cuma bezanya ialah kereta Hafizi kereta manual.
Macamana nak ceritakan tentang sahabat baru ku ini ar?? Oh iya saya dah ada idea. Hafizi mengingatkan saya tentang salah seorang sahabat lama yang sangat baik hati semasa belajar di universiti dahulu. Namanya Mohd. Zairi. Orangnya agak pemalu, baik hati dan penyayang. Sifat ini sangat ketara. Dan kebaikannya itulah yang menarik saya untuk bersahabat dengan dirinya. Sekarang dia sedang menghabiskan masa selama setahun untuk menyiapkan KPLI di Institut Perguruan Keningau Sabah.
Cerita terbaru tentang sahabatku ini ialah dia akan berpindah ke SMK Matunggung Kudat dalam bulan Jun ini atas sebab-sebab kesihatan yang tidak mengizinkannya berada di sini.
Semoga dia dipermudahkan atas semua urusannya. Sekian dahulu kisah sahabatku Hafizi.

Wednesday, March 4, 2009

Apa yang harus saya lakukan?

Sebagai seorang guru yang telah lama berkecimpung dalam dunia pendidikan, pertanyaan yang sering bermain di minda saya ialah "Apa yang telah saya lakukan untuk anak muridku sepanjang hidupku sebagai guru?"
Sebelum itu, biarlah saya menceritakan serba ringkas tentang sejarah perkhidmatanku. Saya mula bertugas pada tahun 1999, Julai di sebuah sekolah rendah di Ranau iaitu SK Muakab, kemudian pada awal tahun 2000 saya bertukar pula ke SK Tungou. Hmm, rupanya bukan mudah membiasakan diri pada suasana baru. Di sini saya agak lama lebih kurang 5 tahun kemudian saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah. Tamat pengajian saya dipostingkan di sebuah sekolah di daerah kecil Tamparuli iaitu SMK Sungai Damit. Masa tu saya ingat lagi saya telah dihantar oleh gemulah ayah saya melapor diri dan pengetua masa tu ialah Encik Suid Hanapi.
Sekarang, ya sekarang saya masih bertanya soalan keramat yang sama. Apakah sumbanganku pada anak muridku dulu dan sekarang.

Sunday, March 1, 2009

Deman panas di Kaingaran

Sepanjang hidup saya, inilah kali pertama saya dilanda demam panas yang teruk selepas melaluinya kali terakhir semasa usia tujuh tahun. Perasaan masa tu Tuhan sahaja yang tahu, sangat memeritkan tubuh dan menyakitkan tempurung kepala. Seolah-olah diserang Tsunami layaknya. Saya cuba mengingat apa yang telah menyebabkan penyakit ini datang menyerang di kala emosi dan minda ku berada benar-benar di telapak kakiku. Akhirnya saya akur, selain daripada terkena hujan Ahad lalu, minum air kelapa yang telah diembunkan dan dihujani semalaman di depan rumah penginapan ini merupakan faktor penolak ia terjadi.
Inilah cerita pendekku yang ingin saya kongsikan setelah lama menyimpan azam untuk menulis
walau hanya sebuah kisah dalam seminggu. Demam ini menyerang diriku yang ceria selalu pada Rabu, 25 Febuari baru-baru ini. Pagi tersebut saya turun ke padang untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran PJ dengan murid-murid Tingkatan 5. Blip test. Usai kerjaan di sana selama 80 minit, saya terus pulang untuk menukar pakaian. Mandi dan bersiap secara ringkas menjadi keutamaan. Selesai sarapan pagi saya ke bilik kaunselor tempat letaknya mejaku dengan dua lagi teman mengajar yang lain.
Sememangnya saya sedari semasa menyiapkan diri di rumah lagi telah perasan demam tetapi tetap juga hendak ke sekolah. Persembahan slide show saya siapkan cepat-cepat kerana akan digunakan pada jam 12 tengahari nanti. Detik itu kurasakan kepala ku mulai berdenyut-denyut dan menghasilkan rasa kurang selesa tuk duduk, teringin sahaja baring dan melelapkan mata. Tapi ku lawan sakit itu. Wah hebat, mengapa ya?? Sebab saya belum pasti saya ini benarkah sakit atau hanya gurauan perasaan. Dan ternyata, tepat jam 12 tengahari itu, semasa berada di kelas Tingkatan 2, ternyata saya tidak boleh berdiri lagi. Yang menariknya, murid-murid ku sangat memahami, mereka mendengar setiap ajaran ku dan melaksanakan tugasan yang kuedarkan. Syukur.
Sebelum kelas tamat lebih kurang 10 minit, saya telah keluar dari kelas, sesampainya di rumah kami, saya terus menukar pakaian dan baring sepanjang hari. Entah bilakah masanya saya terlelap, dan apabila terjaga teman baikku Marie mengajak ku ke klinik Kaingaran berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Bimbang jika terlambat sesuatu yang lebih buruk lagi akan terjadi. Petang itu saya yang sakit dihantar oleh Denis, Marie dan Jupinis ke klinik berhampiran dengan kereta asrama berwarna kuning. Pembantu perubatan yang kukenali sebagai Juhin memberikan saya ubat penahan sakit sahaja dan diminta datang semula esok untuk ujian mengandung memandangkan saya enggan disuntik dan diberikan antibiotik.
Tiga hari berturut-turut demam saya ini beraja di diri. Hanya apabila berada di Ranau pada Jumaat petang saya kelihatan lebih sihat sedikit berbanding dua hari sebelumnya. Dan hanya pada hari ini, saya merasakan diri saya kembali Astizah semula. Antibiotik yang dibekalkan telah habis ku telan selama dua hari sahaja. Hari ini merupakan hari ketujuh selepas peristiwa itu berlaku. Sisa demam masih melekat dalam diriku iaitu selesema